Jumaat, 8 Januari 2010

SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar serta keluarga diatas kemalangan yang menimpa beliau awal pagi tadi, Sesungguhnya kami yakin, seluruh rakyat Perak khususnya amat mengharapkan agar Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar berada dalam keadaan baik dan selamat. PAS Negeri Perak juga berharap
keluarga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dan seluruh rakyat dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Dato` Seri Ir.Haji Mohammad Nizar dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )

Begenilah gambar kereta DS Nizar kemalangan pada 6 Januari 2010, beliau hanya menerima kecederaan ringan sahaja

Selasa, 5 Januari 2010

Kenyataan rasmi Presiden Pas mengenai isu kalimah Allah


PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’

Pas dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Semalaysia (PAS)

HIMPUNAN AMAN BANTAHAN MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN “PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN” KE KEDUTAAN MESIR

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

Dewan pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan Kerajaan Mesir yang tidak memberi kebenaran dan laluan kepada Viva Palestina Convoy 3 untuk meneruskan perjalanan bantuan ke Gaza. Malangnya, kini Konvoi yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign tersebut tersekat di Aqaba, Jordan setelah disekat masuk oleh Kerajaan Mesir.

Kerajaan Mesir telah menyekat deligasi sukarelawan tersebut yang diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway yang telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan ke Gaza.

Rombongan ini telah bertolak dari London pada 05 Disember 2009 dan merentasi jalan darat melalui benua Eropah. Mereka sepatutnya dijadualkan sampai ke Gaza pada 27 Disember 2010 sempena ulang tahun serangan biadap dan pembunuhan zalim rakyat Gaza oleh regim zionis, kerajaan haram Isreal.

Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir pada Jumaat, 08 Januari 2010 berkumpul selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, jalan Ampang.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia terdiri dari muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Kerajaan Mesir menghalang Viva Palestina Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign agar dapat meneruskan perjalanan memasuki Gaza.

USTAZ NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Blog http://episodeperjuangan.blogspot.com

Isnin, 4 Januari 2010

Naik harga gula: 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR, 1 Jan - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan menukar tema 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kepada tema yang baru - 'Kapitalis didahulukan, keuntungan diutamakan'.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberi cadangan sinikal tersebut sebagai respon pada keputusan kerajaan menaikan harga gula RM0.20 bermula 12 tengah malam semalam.

Beliau yang juga Ahli Perlimen Pokok Sena berharap rakyat menilai semula slogan 1Malaysia Najib dan sistem Aras Tanda Pencapaian (KPI) kerajaan yang kononnya demi kepentingan rakyat.

Selain mengkritik Najib, Mahfuz juga mendakwa keputusan yang diambil oleh Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri bukanlah keputusan terbaik demi kepentingan rakyat.

"Ia tidak bantu meningkat pendapatan rakyat, kenaikan harga gula akan tinggalkan kesan berantai pada kenaikan harga susu, tepung, roti, biskut dan barang keperluan rutin yang lain," jelasnya.

Dakwanya, kenaikkan harga gula itu mengambarkan bahawa kerajaan seolah-olah sedang mengurangkan subsidi gula dengan membiarkan pemegang permit kebenaran (AP) tertentu sahaja mengimport gula.

Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya melonggarkan undang-undang kastam dengan membenarkan rakyat tempat mengakses barang-barang asasi, termasuk gula untuk kegunaan rutin dari negara-negara jiran.

Dengan berbuat demikian, beliau berkata, mampu memberikan rakyat suatu tawaran harga paling minima dan murah kerana para pembekal barang-barang asasi terpaksa bersaing memenuhi keperluan rakyat.

Ianya sekaligus, memecahkan blok monopoli oleh kapitalis tertentu dan mengukuhkan blok konsumerisme rakyat di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini, harga sekilo gula di Malaysia dan kepulauan Borneo masing-masing adalah RM1.45 dan RM1.55.